Tuesday

7 Tips Motivasi Pagi Untuk Lebih Bersemangat



1. Bersyukur, bersyukur, bersyukur.
Bersyukurlah sebab anda masih diberi peluang untuk meneruskan hidup, anda juga masih ada kesempatan untuk melakukan yang terbaik hari ini, lebih baik dari yang kelmarin.

2. Tekad Bermotivasi.
Pasang niat dalam hati yang anda mahu jadi bersemangat sepenuhnya. Ambil beberapa artikel-artikel motivasi pendek dan baca dalam seminit dua.

Di waktu awal pagi, jangan buka email, baca newspaper, baca gosip-gosip mahupun join sesi mengumpat bersama kawan-kawan. Sebab, ia menerbitkan energi negatif lalu menghalang anda dari bermotivasi sepanjang hari.

3. Dekatkan Diri Dengan Sesi Motivasi.
Ikuti sesi-sesi motivasi di media, misalnya Motivasi Pagi di TV3 dan sesi motivasi Dr Izzy di Hot FM. Luangkan masa 3-5 minit memberi motivasi pada diri sendiri melalui sesi-sesi motivasi pendek ni.

Motivasi harus dijaga, sebab kalau tak di jaga ia mudah turun. Kesannya, anda menjadi tidak bersemangat, lemah longlai dan lemas.

4. Dalam Apa Jua Yang Anda Buat, Mulakan Dengan Bismillah.
Bila anda mula punch card nak masuk kerja, baca bismillah, moga anda dijauhkan dari bisikan syaitan yang membuat anda lalai, mengantuk, macam tak cukup ‘cas betri’ saja.

Andai kata anda seorang pelajar, bermula dari nak masuk kelas, duduk di kerusi anda dan mula nak bukak buku, mulakan semuanya dengan bismillah. Moga apa jua yang anda lakukan mendapat keberkatan.

Masuk saje ke dalam kelas, pasang niat anda mahu menuntut ilmu. Bila istiqamah melakukannya, anda punya peluang cerah untuk menjadi cemerlang!

5. Set Target Kemajuan Diri Sendiri
Ini juga kurang dititikberatkan. Bila dah keluar rumah sama ada ke kelas atau ke tempat kerja, kita tak tahu apa yang kita nak capai hari tu. Betul tak?

Kita hanya nak sampai di sana, bekerja (atau menghadiri kelas) lepas tu nanti petang balik rumah, berehat, makan, minum, pastu tidur. Esok pagi, bangun dan perkara sama berulang lagi.

Hidup Anda bagai dalam 1 bulatan, situ-situ saja.

Mulai hari ini, ubah sikap anda. Set target apa yang anda mahu capai, lagi best setkan untuk setiap hari.

Andai anda seorang pelajar, set target berapa bab yang anda nak ulangkaji, berapa buah buku yang anda nak baca dalam minggu ni, berapa soalan anda nak bertanya pada lecturer atau guru anda nanti.

Andai anda seorang usahawan, set target berapa jualan yang anda nak capai hari ini dan berapa keuntungan yang anda nak dapat hasil dari bisnes anda. Set juga apa yang anda nak pelajari hari ni dalam bidang bisnes anda.

Andai anda seorang pekerja, set berapa tugas yang anda nak siapkan dan set limit masa untuk anda menyiapkan segalanya. Kecekapan seorang pekerja di nilai dari kepantasan, ketepatan dan kekemasan.

6. Lihat Warna Cerah
Warna boleh mempengaruhi mood. Warna cerah membuat kita jadi energetik, ceria dan penuh dengan idea.

Setiap hari, lihat warna-warna yang cerah seperti kuning, merah, biru dan hijau. Cara ni saya dah test sendiri, berkesan sungguh!

Dekatkan diri dengan benda-benda berwarna cerah sebab ia mampu merubah mood anda menjadi positif.

7. Penuhkan Hati Dengan Kemaafan
Lepaskan segala yang dulu-dulu. Maafkan orang diwaktu pagi, maafkan kesalahan semuanya dari dulu sampai sekarang.

Lepaskan dendam, rasa tak puas hati, geram, sakit hati dan yang sewaktu dengannya.

Andai emosi-emosi negatif ni bersarang di hati (walaupun sedikit) ia menghalang motivasi. Kesannya, anda jadi orang yang tak bersemangat langsung.

Lebih teruk, anda jadi orang yang berfikiran negatif, hanya nampak yang negatif dalam diri setiap orang, setiap situasi dan setiap benda.

Anda mesti berubah untuk kemajuan diri.

Berani Berubah Untuk Kecemerlangan Hidup.

Oleh : Shukri Abdullah

Monday

CABARAN PENGURUSAN JENAZAH IMAM MUDA



PENGALAMAN mereka ibarat baru setahun jagung, namun ujian yang terpaksa dipikul 10 peserta Imam Muda cukup berat. Hanya mereka yang 'terpilih' mampu memikul tanggungjawab menguruskan jenazah yang sudah tidak sempurna.

Kerjasama yang diberikan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur mendapatkan dua jenazah yang tidak dituntut waris diuruskan oleh peserta Imam Muda sepenuhnya.

Melalui rekod Jabatan Forensik, dua jenazah beragama Islam yang tidak dituntut waris itu dijangka sudah meninggal lebih sebulan lalu. Salah seorang adalah penghidap HIV dan seorang lagi pesakit diabetes.

Mungkin semua sudah boleh membayangkan keadaan fizikal dan bau jenazah yang tidak menyenangkan itu lebih-lebih lagi bagi 10 Imam Muda yang kali pertama berhadapan dengan situasi ini.

Inilah cabaran dan ujian pertama 10 Imam Muda yang bakal disiarkan menerusi saluran Astro Oasis (106) mulai jam 9 malam sebelum menantikan pelbagai lagi cabaran menanti mereka selepas ini.

Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, ujian yang diberikan 10 Imam Muda itu adalah proses pembelajaran sebenar yang harus mereka tempuhi sebelum bergelar imam.
“Pembelajaran yang dilalui di dalam program ini berdasarkan skop sebenar yang diberikan oleh Jawi. Di dalam episod pengurusan jenazah, mereka akan melalui semua proses bermula mengenal pasti jenazah sehinggalah pengebumian.

“Genre Imam Muda yang akan dilalui mereka ini meliputi perjalanan kitaran hidup manusia daripada kelahiran sehinggalah kematian. Selepas ini mereka akan berhadapan dengan pelbagai lagi cabaran sebagai persiapan diri untuk bergelar imam,” katanya yang ditemui di Tanah Perkuburan Islam Jalan Karak, Taman Batu Muda, baru-baru ini.

Penilai ujian pengurusan jenazah, Penolong Pegawai Unit Falaq, Jawi, Mohd Marngi Wasin, berkata pendedahan proses pengurusan jenazah kepada kesemua Imam Muda bertujuan memberitahu kepada masyarakat berkaitan pengurusan jenazah bukanlah perkara yang sukar.

“Pendedahan itu bukanlah untuk menakutkan semua orang yang selama ini banyak mengetahui perkara buruk selepas menguruskan jenazah sehingga orang takut untuk melakukan sendiri.

“Pengurusan jenazah sebenarnya lebih baik dilakukan sendiri oleh keluarga si mati dan bukan orang lain. Sebab itu kita cuba meyakinkan semua orang bahawa ia tidak susah, malah memberi keinsafan kepada kita semua.

“Mereka dinilai berdasarkan ilmu pengetahuan sama ada melalui kelas dalam program ini atau yang sememangnya sudah diketahui mereka seperti keberanian, keselesaan, cetusan idea, adab, tidak mengikut orang lain dan kerjasama berkumpulan,” katanya yang berpuas hati menilai kesemua Imam Muda dengan sempurna.

Tanpa bantuan dan sokongan pelbagai pihak, Imam Muda sukar untuk diteruskan lebih lagi sebagai pencetus program memecah tradisi.

Penerbit Eksekutif Imam Muda, Nizam Hamid, berkata pihaknya mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Jawi sejak awal bagi merealisasikan program pertama di dunia ini.

“Ini juga adalah program realiti pertama yang menggunakan jenazah sebenar dan kami mendapat bantuan Jabatan Forensik, HKL yang juga diuruskan oleh Jawi.

“Sebelum 10 Imam Muda ini melakukan praktikal, mereka terlebih dulu diberikan teori berkaitan pengurusan jenazah. Kemudian mereka dibawa ke Jabatan Forensik HKL untuk mengenal pasti jenazah.

“Sepuluh Imam Muda ini diberikan kepada dua kumpulan A dan B untuk menguruskan dua jenazah. Sebaik jenazah sampai ke tanah perkuburan, mereka sendiri akan mengangkat daripada kenderaan yang membawa jenazah untuk dimandikan.

“Memandangkan jenazah yang diuruskan mereka ini tidak sempurna, jadi mereka dibekalkan dengan pakaian khas bagi mengelakkan perkara buruk. Ternyata kesemuanya begitu kuat melawan cabaran itu, malah melakukannya dengan bersahaja tanpa tekanan.

“Selain mendapat bantuan Jawi dan Jabatan Forensik HKL, semua tenaga kerja Imam Muda begitu komited melaksanakan tanggungjawab merealisasikan sebaik mungkin. Saya juga dibantu dua penerbit berpengalaman menerbitkan pelbagai program realiti di Astro seperti Raja Idham Raja Mohamad dan Muhamad Adlan Shahril,” katanya yang berterima kasih kepada Pegawai Perhubungan Awam Jawi, Tuan Asmawi Tuan Omar yang juga penasihat Imam Muda kerana menyelesaikan segala keperluan yang berkaitan.


Sumber : BERITA HARIAN